LAMANKU

Selasa, 17 Ogos 2010

BATIK DAN SONGKET TERENGGANU





Batik Terengganu tidak seperti corak batik kontemperari yang banyak di pengaruhi oleh batik jawa(sebahagiannya dicetak di Indonesia tetapi diedar di Terengganu sebagai Batik Terengganu) dan corak yang moden dan bebas, Batik Terengganu yang asli mempunyai anatomi yang tersendiri. Sehelai batik mempunyai bahagian-bahagian corak yang khusus dengan panggilan 'patak'(dasar), kaki dan sebagainya. Penggunaan corak dan warna juga mempunyai kaitan yang rapat dengan anatomi batik tadi.



Seni batik adalah satu kaedah reka bentuk dan pencorakan tekstil yang diasaskan kepada penggunaan lilin dan pewarna. Lilin digunakan sebagai pemisah warna yang dilukis atau diterap ke atas permukaaan tekstil. Warna kemudiannya disampaikan kepada tekstil sama ada dengan kaedah celupan atau menggunakan berus. Seni batik unik dan istimewa kerana tidak ada sehelai kain yang sama dengan yang lain sekalipun menggunakan blok cap dan warna yang sama. Keunikan setiap helai tambah terselah dalam seni batik tulis.

Songket Terengganu pula terkenal di Malaysia sejak abad ke 15. Perkataan songket berasal daripada perkataan 'sungkit' iaitu teknik menyungkit. Songket adalah hasil daripada tenunan benang sutera atau kapas yang ditenun bersama-sama dengan benang emas atau benang perak.

Corak tenunan songket adalah berdasrkan motif-motif tumbuh-tumbuhan seperti pucuk rebung, tapak manggis, bunga raya, bunga teratai, dan bunga daun sirih. Motif kuih/makanan pula adalah lopak tikam. Motif binatang dalah lawi ayam manakala motif alam/benda pula adalah bunga bintang, rumah, dan bangunan.

Pada zaman dahulu songket digunakan oleh golongan istana sebagai tanjak, samping, kain selendang, dan persalinan diraja. Walau bagaimanapun kini penggunaan songket telah di pelbagaikan dan mampu dimiliki oleh semua orang sebagai pakaian pengantin, perhiasan dinding, beg tangan, alas meja, barangan kraftangan, dan cenderamata.